Tuesday, August 11, 2009

Peranan sebagai Khalifah





Sejak kewujudan Adam a.s , perjalanan kehidupan di ( Syurga ) pada tika itu dilimpahkan nikmat yang tidak terhingga . Tetapi setelah penciptaan Hawa sebagai teman hidup Adam a.s , syaitan serta kuncu-kuncunya telah merencanakan pakatan jahat bagi menjatuhkan Adam dan Hawa ke dalam kebinasaan dan dimurkai oleh Tuhan. Akhirnya Adam dan Hawa tewas dihasut oleh syaitan lalu keduanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu dan diturunkan ke dunia. Itulah sedikit kisah bagaimana dari awal penciptaan Adam dan Hawa hingga ke hari ini mempunyai banyak onak dan duri.

Kini dunia memerlukan pentadbir yang mampu mentadbir dunia dengan baik lagi harmoni. Pentadbir disini adalah diri kita. Kita adalah makluk ciptaan Tuhan yang sebaik-baik ciptaan. Kita juga adalah khalifah dimuka bumi ini yang wajib mentadbir dunia dengan baik yang berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah. Walaupun begitu, masih ada kekurangannya yang perlu ditampung dan dibaiki bagi melihatnya di dalam keadaan yang kelihatan sempurna. Jika direnungkan kembali kenapa manusia dijadikan di muka bumi ini? Jawabannya ialah untuk ubbudiah kepada Allah s.w.t yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa di seluruh ‘Alam. Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud :

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
( Adz- Dzaariyaat 51 : 56 )

Di dalam ayat yang lain yang bermaksud :

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
( Al-Baqarah 02: 30 )

Disini Allah menjelaskan bahawa penciptaan khalifah di bumi adalah dibawah pengetahuan Tuhan Yang Maha Mengetahui. Ianya juga amat bererti di sisi Allah s.w.t untuk menciptakannya dan seterusnya untuk mentadbir bumi ini. Allah jua yang mengutuskan para Rasul sebagai khalifah di muka bumi sebagai petunjuk jalan kebenaran yang mana di zaman itu di penuhi dengan zaman kegelapan dan kejahilan. Dari Nabi Adam a.s hingga Nabi Muhammad s.a.w iaitu nabi akhir zaman diberikan amanah sebagai pesuruh di jalan Allah. Dan seterusnya kepada para sahabat , tabi’ tab’iin hinggalah umat Muhammad s.a.w di hari ini.

“Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.”
( Yunus 11 : 14)

Hakikat penciptaan manusia ialah manusia dilahirkan sebagai khalifah dengan menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan. Khalifah mempunyai peranan yang amat besar di dalam kehidupan di dunia hari ini. Baik dan buruk kehidupan hari ini bergantung kepada khalifah yang mengetuainya. Tetapi khalifah pada asalnya ialah khalifah yang terserlah kehebatannya dan kekuatannya dalam menerajui sesuatu kafilah atau kaum. Khalifah disini ialah seluruh umat Islam yang mana diketuai oleh khalifah yang mempunyai ilmu pengetahuan agama Islam yang mendalam dan dipilih berdasarkan syura. Sebagai contoh khalifah Ar- Rasyidin yang dilantik berdasarkan syura mengikut peringkat serta kredibiliti khalifah setelah kewafatan Nabi yang Ummi iaitu Muhammad s.a.w di zaman tersebut.

Khalifah juga adalah seorang da’ie yang berjuang tanpa gentar di jalan Allah. Dengan kata yang lain berjihad fi sabilillah tidak kira tenaga, harta atau wang ringgit, anak juga isteri semuanya ini sanggup di tinggalkan dan dikorbankan semata-mata kerana Allah. Semuanya ini dijadikan dagangan di dalam perniagaan ( kebajikan ) untuk menegakkan Islam di muka bumi ini.

“ Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: Orang-orang Islam semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.”

( Al-Hajj 22 : 78 )

Sesungguhnya Islam adalah satu agama yang luas yang merangkumi seluruh kehidupan di alam ini. Maka setiap khalifah seharusnya memainkan peranan serta tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan tersusun dan baik yang mesti dilakukan semampu-mampunya hatta dengan nyawa sendiri. “Setiap kamu adalah pengawas dan setiap kamu akan dipertanggungjawab terhadap apa yang di awasinya.”.

Menegak yang maaruf dan mencegah kemungkaran merupakan peranan khalifah. Adalah satu kewajipan khalifah untuk menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran walaupun susah untuk dilaksanakan dan ianya memerlukan daya usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai keredhaanNya. Sebagai seorang khalifah yang beriman dan bertakwa kepada Allah, ianya memerlukan kekuatan diri samada dari segi ilmu pengetahuan Islam yang tinggi, syaksiah atau pribadi yang baik. Khalifah disini ialah khalifah yang sanggup berkata benar walaupun pahit apabila berhadapan dengan raja atau pemerintah yang zalim. Dari sudut yang lain pula ialah khalifah yang sanggup ditegur oleh rakyatnya untuk kebaikan bersama sekiranya berlaku kesilapan dalam mentadbir.

Dan sebagaimana peristiwa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khatab yang telah ditegur oleh orang yang dipimpinnya tentang kepimpinannya pada masa itu. Ianya diterima baik oleh Khalifah Umar Al-Khatab r.a.

Dari Abi Said Al-khudri r.a, katanya : “ Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :” Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya ( kuasanya ). Sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya ( nasihatnya ) . Sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya ( tidak meredhai perbuatan tersebut ) . Dan yang demikian adalah selemah-lemah iman .

( Hadis ke 34 dari himpunan hadis 40 ( An- Nawawi ) )

Dari sudut yang lain pula, Khalifah perlulah adil dan amanah dalam menentukan sesuatu tindakan atau hukuman. Khalifah hendaklah mengikut aturan syariat yang telah ditetapkan barulah ianya dilaksanakan dan berserah kepada Allah s.w.t.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
( An- Nisa’04 : 58 )

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

( Al-Anfal 08 : 27 )

Keadilan juga hendaklah seiringan dengan ketakwaan serta keimanan pada diri seorang yang bergelar khalifah. Tidak indah jika hanya adil dari segi zahir zahaja tetapi tidak secara spritualnya. Keadilan juga hendaklah keadilan sejagat tidak kira agama, bangsa atau kaum. Kerana melalui keadilan ini akan terbit perasaan al- hubb di antara insani. Inilah yang ditekankan di dalam Islam satu agama yang penyayang dan kasih sayang.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
( Al-Maidah 05 : 08 )

Oleh itu setiap sesuatu yang Allah jadikan dimuka bumi ini semuanya ada peranan yang tersendiri. Ciptaan Tuhan termasuk tumbuh-tumbuhan, binatang, bukit bukau , malaikat , jin dan juga manusia. Walaupun begitu manusia menjadi pilihan Allah untuk mentadbir dunia ini tidak pada ciptaan yang lain. Semuanya ini hanya Tuhan Yang Maha Esa yang Maha Berkuasa, tiada yang dapat menyekutukanNya kerana Allah, Tuhan yang terawal dan terakhir…